Eeg sebagai kaedah berkesan untuk memahami aktiviti neural berkaitan keupayan golongan miskin membuat keputusan

Rozainee Khairudin, and Khazriyati Salehuddin, and Hiran Shanake Perera, and Schaefer, Alexandre (2021) Eeg sebagai kaedah berkesan untuk memahami aktiviti neural berkaitan keupayan golongan miskin membuat keputusan. AKADEMIKA, 91 (1). pp. 165-179. ISSN 0126-5008

[img]
Preview
PDF
1MB

Official URL: https://ejournal.ukm.my/akademika/issue/view/1368

Abstract

Kajian tentang kemiskinan mendapati bahawa kesempitan kewangan (monetary scarcity) boleh memberi kesan ke atas fungsi kognitif dan keupayaan untuk membuat keputusan (decision-making). Hal ini kerana individu yang tergolong dalam kategori miskin, yang mengalami kesempitan kewangan, adalah lebih mudah terkesan oleh isu-isu yang berkaitan dengan belanjawan. Keadaan yang memaksa mereka sentiasa memikirkan isu-isu berkaitan dengan hal-hal kewangan ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan bebanan kognitif (cognitive load) yang akhirnya memberi kesan ke atas kemampuan mereka untuk membuat keputusan dengan berkesan. Kajian-kajian tingkah laku telah menunjukkan bahawa kesempitan kewangan menghalang fungsi kognitif; kesempitan kewangan ini sering kali menjadi faktor signifikan yang memberi kesan ke atas kemampuan untuk membuat keputusan. Walau bagaimanapun, mengapa kesempitan kewangan dan bebanan kognitif menghalang prestasi kognitif, dan sistem-sitem pemprosesan neural yang manakah yang terkesan akibat daripada keadaan ini masih belum dapat dijelaskan. Walaupun wujudnya perbezaan tingkah laku antara minda yang mengalami kesempitan dengan minda yang tidak mengalami kesempitan, perbezaan dalam fungsi neuro-kognitif masih belum diterokai. Pemahaman ke atas fungsi neural tertentu akan membantu dalam mengenal pasti bagaimana kesempitan boleh mengakibatkan proses-proses neuro-kognitif tertentu terhalang. Salah satu cara untuk mengukur aktiviti neural di dalam otak manusia ini ialah dengan menggunakan elektroensefalografi (EEG) Potensi Berkaitan Peristiwa (Event-Related Potential, ERP), yang mampu menilai aktiviti-aktiviti neuro-temporal tertentu. Makalah ini mengetengahkan pentingnya kajian ke atas asas neurobiologi tentang bagaimana kemiskinan memberi kesan ke atas fungsi kognitif. Pemahaman ke atas tingkah laku berkaitan aktiviti-aktiviti neural tertentu akan dapat membantu dalam membangunkan program-program intervensi yang berkesan yang boleh disasarkan untuk meningkatkan kebolehan membuat keputusan bagi individu-individu yang tergolong dalam golongan miskin.

Item Type:Article
Keywords:EEG; ERP; Kemisikinan; Kesempitan kewangan; Kawalan eksekutif
Journal:AKADEMIKA
ID Code:16730
Deposited By: ms aida -
Deposited On:04 Jun 2021 03:40
Last Modified:08 Jun 2021 15:40

Repository Staff Only: item control page