Faktor organisasi dalam menyumbang kepada kemalangan pekerjaan industri pembinaan rel Mass Rapid Transit (MRT) di Malaysia

Kadir Arifin, and Mohammad Lui Juhari, and Muhammad Khairil, and Mahfudz, and Samad, Muhammad Ahsan (2021) Faktor organisasi dalam menyumbang kepada kemalangan pekerjaan industri pembinaan rel Mass Rapid Transit (MRT) di Malaysia. AKADEMIKA, 91 (2). pp. 17-32. ISSN 0126-5008

[img]
Preview
PDF
269kB

Official URL: https://ejournal.ukm.my/akademika/issue/view/1410

Abstract

Kadar kemalangan pekerjaan di industri pembinaan merupakan yang tertinggi di Malaysia berbanding sektor industri yang lain. Faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan pekerjaan di industri pembinaan adalah faktor organisasi berbanding faktor-faktor yang lain. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menganalisis dan menilai aspek-aspek di bawah faktor organisasi yang menyumbang kepada kemalangan pekerjaan dalam industri pembinaan rel Mass Rapid Transit (MRT). Borang soal selidik diedarkan secara rawak di projek pembinaan MRT jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) sekitar Lembah Kelang. Sebanyak 530 maklumbalas telah diterima yang merangkumi 232 responden dari kumpulan pengurusan/profesional dan 298 responden dari kumpulan pekerja pembinaan. Data dianalisis menggunakan analisis deskriptif (min dan sisihan piawai) dan analisis inferensi (korelasi Pearson) bagi menilai dan menghuraikan hubungan antara kesemua aspek di bawah faktor organisasi yang menyumbang kepada kemalangan pekerjaan. Hasil kajian mendapati kedua-dua kumpulan responden mempunyai persepsi yang diklasifikasikan sebagai “sederhana bersetuju” terhadap aspek pengurusan sumber, budaya keselamatan organisasi, dan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam menyumbang kepada kemalangan pekerjaan di industri pembinaan rel MRT. Manakala kebanyakan responden tidak bersetuju terhadap aspek polisi KKP dalam menyumbang kepada kemalangan pekerjaan di industri pembinaan rel MRT. Terdapat enam hubungan yang mempunyai kekuatan pada tahap “sederhana” bagi aspek-aspek yang dikaji di mana hubungan antara aspek pengurusan sumber terhadap pengurusan KKP merupakan hubungan yang paling signifikan dengan catatan nilai pekali korelasi tertinggi r = 0.65. Hasil dapatan kajian ini perlu diberi perhatian oleh semua pemegang taruh industri pembinaan MRT untuk merancang langkah penambahbaikan dalam usaha untuk mencegah kemalangan pekerjaan dalam industri ini pada masa hadapan.

Item Type:Article
Keywords:Faktor Organisasi; Industri pembinaan; Kemalangan pekerjaan; Keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP); Mass Rapid Transit
Journal:AKADEMIKA
ID Code:17334
Deposited By: ms aida -
Deposited On:17 Aug 2021 01:16
Last Modified:23 Aug 2021 00:47

Repository Staff Only: item control page