Penganalisaan taburan hujan diurnal terhadap angin monsun di Malaysia dengan menggunakan data satelit TRMM

Asnor Nadirah Ishak, and Noor Hidayah Tauhid Ahmad, and Mandeep Singh Jit Singh, (2021) Penganalisaan taburan hujan diurnal terhadap angin monsun di Malaysia dengan menggunakan data satelit TRMM. Jurnal Kejuruteraan, 33 (3). pp. 719-731. ISSN 0128-0198

[img]
Preview
PDF
1MB

Official URL: https://www.ukm.my/jkukm/volume-333-2021/

Abstract

Malaysia terletak di kawasan garisan khatulistiwa yang mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi, dan curahan hujan yang banyak. Curahan hujan yang banyak ditentukan oleh corak tiupan angin monsun dan pengaruh sifat topografi tempatan. Malaysia dipengaruhi dua jenis tiupan angin monsun yang utama iaitu angin Monsun Barat Daya (MBD) yang bertiup pada bulan Mei hingga September manakala Monsun Timur Laut (MTL) bertiup pada bulan November hingga Mac setiap tahun. Malaysia juga merupakan sebuah negara yang dikelilingi laut menyebabkan kesan bayu laut dan bayu darat ke atas corak tiupan angin adalah tinggi. Curahan hujan yang banyak di Malaysia adalah bersesuaian dengan kajian yang dilaksanakan iaitu dengan menganalisa data hujan 3B42 dari satelit TRMM yang dikenali sebagai Analisa Kerpasan Satelit Majmuk, TRMM (‘TRMM Multi-Satellite Precipitation Analysis’, TMPA). Sebanyak 14 kawasan kajian terdiri dari lapan kawasan dari Semenanjung Malaysia (SM) dan enam kawasan dari Malaysia Timur (MT) untuk tempoh 11 tahun bermula tahun 2009 hingga 2019. Kajian ini mengkaji intensiti hujan diurnal dengan mengikut data hujan temporal dan spasial dengan menggunakan Model Segal pada sela masa 1-minit serta kesannya terhadap angin monsun di Malaysia. Model Segal merupakan model yang terbaik untuk penukaran data hujan bagi kawasan Malaysia dan data hujan ini juga boleh mengetahui kawasan yang sering dilanda hujan lebat dan sebaliknya. Penukaran data hujan pada sela masa 1-minit boleh menjamin kestabilan statistik taburan hujan di sesuatu kawasan kajian yang dipengaruhi oleh kepelbagaian bentuk muka bumi, pergerakan angin monsun, dan kedudukan garis lintang permukaan tersebut. Hasil dari kajian ini mendapati, kawasan kajian Kuching, Sarawak menerima kadar taburan hujan 1-minit iaitu 175.25mm/jam dengan purata hujan tahunan 4641.34mm yang paling tinggi bagi seluruh kawasan kajian di Malaysia. Kawasan kajian Cameron Highlands menerima kadar taburan hujan 1-minit yang paling rendah bagi SM iaitu 103.09mm/ jam manakala kadar taburan hujan 1-minit yang paling tinggi ialah kawasan kajian Kota Bahru, Kelantan iaitu 171.13mm/ jam, dan kawasan Kota Bahru juga menerima purata hujan tahunan yang paling tinggi di SM sebanyak 3013.33mm. Kawasan Cameron Highlands terletak di bahagian Banjaran Titiwangsa yang merupakan tulang belakang bagi kawasan SM dan ia dilindungi dengan tiupan angin MTL yang kuat. Hasil kajian ini mendapati, kawasan kajian Mersing, Johor menerima purata hujan harian, bulanan, dan tahunan yang paling rendah di dalam seluruh 14 kawasan kajian iaitu sebanyak 1992.98mm. Corak taburan hujan di kawasan pantai timur SM dan seluruh negeri Sarawak menerima hujan lebat yang dipengaruhi angin MTL dan mempunyai pola purata hujan diurnal yang sama iaitu mempunyai dua titik maksimum hujan dalam sehari. Hasil dari kajian ini juga mendapati jumlah taburan hujan di setiap kawasan adalah berbeza dari semasa ke semasa. Selain pengaruh angin monsun, fenomena El Nino dan La Nina yang dikenali sebagai El Nino Southern Oscillation (ENSO) juga mempengaruhi taburan hujan di sesuatu kawasan di mana fenomena itu berpunca daripada perubahan suhu permukaan air laut di bahagian khatulistiwa Lautan Pasifik. Data hujan pada tahun 2015 dan 2016 di dalam kajian ini mendapati kebanyakan kawasan kajian memberi kesan pengaruh fenomena El Nino. Kajian ini adalah amat berguna untuk mengetahui corak taburan hujan di Malaysia supaya kita boleh membuat persediaan musim hujan, banjir, dan kemarau bagi pihak kerajaan mahupun persendirian.

Item Type:Article
Keywords:Model segal; Hujan sela masa 1-minit; Angin monsun
Journal:Jurnal Kejuruteraan
ID Code:18777
Deposited By: ms aida -
Deposited On:08 Jun 2022 03:18
Last Modified:10 Jun 2022 01:57

Repository Staff Only: item control page