Peta ketumpatan fizikal bagi menentukan unsur berisiko banjir di kawasan Kota Belud, Sabah, Malaysia

Kamilia Sharir, and Rodeano Roslee, (2023) Peta ketumpatan fizikal bagi menentukan unsur berisiko banjir di kawasan Kota Belud, Sabah, Malaysia. Sains Malaysiana, 52 (7). pp. 1939-1954. ISSN 0126-6039

[img]
Preview
PDF
2MB

Official URL: https://www.ukm.my/jsm/

Abstract

Banjir merupakan bencana alam yang berlaku setiap tahun dan memberi impak kepada kehidupan manusia, gangguan sosio-ekonomi dan kemusnahan alam sekitar. Terdapat tiga komponen penting dalam mentafsir risiko banjir iaitu; Bahaya, Kemudahterancaman dan Pendedahan. Pendedahan dalam konteks ini merujuk kepada unsur yang terdedah atau berisiko kepada sesuatu kerugian dan mempunyai tahap kemudahterancamannya yang tersendiri. Rekod kejadian banjir di kawasan ini semakin meningkat terutamanya selepas kejadian Gempa Bumi Ranau 2015. Peningkatan kejadian ini menjejaskan kelangsungan hidup kerana kebergantungan komuniti setempat terhadap hasil pertanian seperti penanaman padi untuk menjana pendapatan selain penempatan kemudahan fasiliti awam seperti hospital, pejabat kerajaan dan sekolah. Justeru, mengenal pasti unsur berisiko di kawasan ini amatlah penting untuk meminimumkan risiko banjir yang akan menjejaskan kawasan ini. Objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti unsur berisiko yang terdedah kepada ancaman bencana banjir di kawasan Kota Belud, Sabah. Pendedahan unsur berisiko boleh dikenal pasti secara nyata atau tidak nyata. Unsur berisiko nyata dikenal pasti melalui jejak bangunan dan jenis jaringan jalan raya yang ada di sekitar kawasan kajian manakala unsur berisiko tidak nyata pula, analisis ini dilakukan secara soal selidik di lapangan. Peta Ketumpatan Fizikal (PKF) kemudian dihasilkan daripada jejak bangunan dan peta jaringan jalan raya untuk menggambarkan unsur berisiko pada skala rantau. Peta ini dihasilkan dengan menukar poligon bangunan menjadi titik dan pengiraan dibuat berdasarkan kilometer persegi dan menggabungkannya dengan maklumat ketumpatan jaringan jalan raya. Kaedah ini turut digunakan sebagai kaedah alternatif untuk menggambarkan taburan penduduk bagi kawasan yang mempunyai ketersediaan dan kebolehcapaian data yang terhad. Hasil analisis menunjukkan kawasan unsur berisiko yang berketumpatan fizikal tinggi terletak berhampiran dengan sungai-sungai utama seperti Sungai Kadamaian, Sungai Wariu, Sungai Gurong-gurong, Sungai Tempasuk dan Sungai Abai. Kajian ini amat berguna sebagai kajian perintis dalam mentafsir risiko banjir di kawasan ini dan berpotensi dikembangkan di kawasan lain agar kerosakan dan kerugian harta benda, infrastruktur atau utiliti awam dapat diurus dan dikurangkan.

Item Type:Article
Keywords:Bahaya; Banjir; Kemudahterancaman; Kota Belud; Risiko; Unsur berisiko
Journal:Sains Malaysiana
ID Code:22560
Deposited By: Siti Zarenah Jasin
Deposited On:23 Nov 2023 03:46
Last Modified:23 Nov 2023 03:46

Repository Staff Only: item control page