Analisis indeks kemudahterancaman banjir secara fizikal, sosial dan persekitaran di kawasan Kota Belud, Sabah, Malaysia

Kamilia Sharir, and Rodeano Roslee, (2023) Analisis indeks kemudahterancaman banjir secara fizikal, sosial dan persekitaran di kawasan Kota Belud, Sabah, Malaysia. Sains Malaysiana, 52 (6). pp. 1619-1633. ISSN 0126-6039

[img]
Preview
PDF
1MB

Official URL: https://www.ukm.my/jsm/english_journals/vol52num6_...

Abstract

Banjir merupakan bahaya semula jadi yang boleh mengancam nyawa dan harta benda. Salah satu aspek penting dalam pentaksiran risiko banjir adalah kemudahterancaman. Kemudahterancaman ditakrifkan sebagai keupayaan sesuatu unsur berisiko untuk terancam akibat suatu fenomena berbahaya. Peningkatan kejadian banjir di kawasan ini semakin kerap terutamanya selepas kejadian Gempa Bumi Ranau 2015. Pemindahan penduduk mungkin satu faktor utama dalam menyelesaikan masalah banjir, namun hakikatnya penduduk enggan untuk berpindah dan bersedia untuk berhadapan dengan risiko bencana banjir. Justeru, memahami darjah kemudahterancaman unsur berisiko di kawasan ini amatlah penting untuk meminimumkan risiko banjir di kawasan ini. Objektif utama kajian ini adalah untuk mentaksir kemudahterancaman banjir di kawasan Kota Belud berdasarkan tiga parameter utama iaitu secara fizikal, sosial dan persekitaran. Kajian ini mengambil kira unsur berisiko yang terdedah kepada kemudahterancaman banjir seperti bangunan dan komuniti setempat. Kajian ini dijalankan secara rantau bagi menggambarkan keadaan keseluruhan kawasan kajian sebelum, semasa dan selepas kejadian banjir berlaku. Sebuah pangkalan data dihasilkan dengan mengambil kira integrasi antara parameter kemudahterancaman dan pengenalpastian unsur berisiko. Data ini kemudiannya dicerap di lapangan untuk pemberian nilai skala bagi setiap parameter kemudahterancaman seperti berikut: skala 0 (tiada kerosakan), 0.25 (kerosakan rendah), 0.5 (kerosakan sederhana), 0.75 (kerosakan tinggi) dan 1 (kerosakan total). Penetapan nilai skala ini dibuat untuk memastikan keseragaman dalam menilai sub-parameter kemudahterancaman banjir di kawasan kajian. Selepas pengiraan skala kemudahterancaman dibuat, peta hasil pengiraan parameter kemudahterancaman dijana menggunakan teknik interpolasi bertujuan untuk menentukan nilai kebarangkalian bagi lokasi yang mungkin tidak dapat dikenal pasti atau tidak mempunyai data. Ketiga-tiga parameter kemudahterancaman kemudiannya digabungkan menjadi peta kemudahterancaman banjir di kawasan ini. Hasil pengiraan skor kemudahterancaman keseluruhan ini, sebanyak 533 (3.51%) buah bangunan yang terdapat di kawasan kajian mempunyai nilai 0.00 - 0.20 iaitu dalam kategori sangat rendah, 3,092 (20.37%) buah bangunan mempunyai nilai 0.21 - 0.40 iaitu dalam kategori rendah, 9,561 (62.98%) buah bangunan mempunyai nilai 0.41 - 0.60 iaitu dalam kategori sederhana, 1,995 (13.14%) buah bangunan mempunyai nilai 0.61 - 0.80 iaitu dalam kategori tinggi dan tiada jumlah bangunan mempunyai nilai 0.81 - 1.00 iaitu dalam kategori sangat tinggi. Hal ini mungkin dikaitkan dengan sub-parameter kemudahterancaman sosial kerana tiada kecederaan atau kematian direkodkan sepanjang kejadian banjir yang berlaku di kawasan kajian terutamanya selepas kejadian Gempa Bumi Ranau 2015. Tahap kesedaran awam atau kesiapsiagaan penduduk dalam menghadapi banjir juga dilihat tinggi. Ini menunjukkan bahawa penduduk setempat sudah boleh mengadaptasikan diri mereka dengan keadaan banjir yang sering berlaku di kawasan ini sejak tahun 1960-an lagi. Namun begitu, tahap kemudahterancaman yang berada pada kelas tinggi harus diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan secara langsung kepada aktiviti sosio-ekonomi.

Item Type:Article
Keywords:Bahaya; Banjir; Kemudahterancaman; Kota Belud; Unsur berisiko
Journal:Sains Malaysiana
ID Code:22782
Deposited By: Siti Zarenah Jasin
Deposited On:03 Jan 2024 01:26
Last Modified:03 Jan 2024 01:26

Repository Staff Only: item control page