Muzium Pahang dan isu penjajahan British di Tanah Melayu

Ahmad Farid Abd Jalal, and Ahnaf Wafi Alias, and Siti Maimunah Kahal, and Rahimin Affandi Abd Rahim, (2024) Muzium Pahang dan isu penjajahan British di Tanah Melayu. International Journal of the Malay World and Civilisation, 12 (1). pp. 87-97. ISSN 2289-1706

[img]
Preview
PDF
774kB

Official URL: http://ejournal.ukm.my/jatma/index

Abstract

Klas Grinell menegaskan dalam carta UNESCO (1945) bahawa trauma kemusnahan manusia akibat Perang Dunia Kedua boleh diubati dengan warisan tamadun ilmu, sejarah, budaya dan seni. Oleh itu, UNESCO dan ICOM (Majlis Muzium Antarabangsa) menekankan peranan besar yang perlu dimainkan oleh muzium untuk tujuan menjaga dan mempelajari warisan sejarah dan budaya ini. Namun begitu, terdapat tiga paradigma yang dipegang khususnya dalam kalangan penganut Islam membabitkan peranan muzium ini. Pertama, golongan yang memusuhi muzium secara mutlak. Kedua, golongan yang menerima konsep muzium baharu secara mutlak dan ketiga, golongan reformis yang mengambil sikap selektif terhadap institusi muzium. Hal ini demikian kerana idea penubuhan muzium itu sendiri pada awalnya dicetuskan oleh penjajah khususnya British bagi tujuan mengumpulkan hasil-hasil alam semula jadi dan koleksi-koleksi berharga di Tanah Melayu. Dalam masa yang sama, mereka mengasaskan ilmu kolonial bagi mengkaji masyarakat tanah jajahan secara tuntas demi kepentingan penjajahan. Setelah Tanah Melayu merdeka, muzium dilihat menyumbang kepada pembangunan negara, menjadi agen penyebar ilmu pengetahuan, serta memupuk identiti bangsa. Objektif utama makalah ini adalah untuk mendedahkan peranan Muzium Pahang dalam menghadapi isu-isu penjajahan British di Tanah Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah pensejarahan dengan menganalisis sumber-sumber penyelidikan, bahan-bahan penerbitan, koleksi-koleksi serta galeri-galeri Muzium Pahang khususnya Galeri Kesultanan Melayu Pahang dan Islam di Pahang. Hasilnya, kajian ini mendapati Muzium Pahang telah mendedahkan isu-isu penjajahan British di Tanah Melayu melalui siri-siri penyelidikan, kolokium, penerbitan serta pameran yang diadakan. Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) telah menggiatkan lagi kajian ilmiah berkaitan ilmu kolonial di alam Melayu dengan menjawab teori-teori orientalis Barat, kesannya terhadap Islam dan pembentukan institusi muzium di Malaysia. Isu-isu penjajahan ini perlu dipelajari bagi memastikan agar penjajahan kuasa asing tidak lagi berulang di Malaysia.

Item Type:Article
Keywords:ICOM; Warisan sejarah; Isu penjajahan; Galeri; Muzium Pahang
Journal:International Journal of the Malay World and Civilisation (Formerly SARI)
ID Code:23001
Deposited By: Mr. Mohd Zukhairi Abdullah
Deposited On:06 Feb 2024 08:32
Last Modified:09 Feb 2024 00:46

Repository Staff Only: item control page