Aktiviti antimalaria dan skizontisida sebatian analog 4-aminokuinolina-pirano[2,3-c]pirazol terhadap Plasmodium knowlesi A1H1 dan analisis dok molekul

Siti Nurfatehah Kamal, and Amatul Hamizah Ali, and Ng, Yee Ling and Mohd Asyraf Shamsudin, and Siti Nur Hidayah Jamil, and Hani Kartini Agustar, and Nurul Izzaty Hassan, and Mohd Ridzuan Mohd Abd Razak, and Lau, Yee Ling and Jalifah Latip, (2024) Aktiviti antimalaria dan skizontisida sebatian analog 4-aminokuinolina-pirano[2,3-c]pirazol terhadap Plasmodium knowlesi A1H1 dan analisis dok molekul. Sains Malaysiana, 53 (12). pp. 3307-3318. ISSN 0126-6039

[img] PDF
1MB

Official URL: https://www.ukm.my/jsm/english_journals/vol53num12...

Abstract

Kemunculan jangkitan zoonosis Plasmodium knowlesi dan perkembangan kerintangan parasit terhadap ubat antimalaria sedia ada memacu penyelidikan dinamik bagi meneroka dan mencari agen antimalaria yang baharu. Penghibridan farmakoforik ialah suatu strategi gabungan dua sebatian yang berlainan farmakofor untuk mencegah kerintangan parasit terhadap ubat antimalaria sedia ada dan mengurangkan kesan sampingan ubat antimalaria. Lima terbitan kuinolina telah menunjukkan aktiviti antimalaria terhadap parasit malaria iaitu kesan analog 4-aminokuinolina-pirano[2,3-c]pirazol terhadap strain Plasmodium falciparum 3D7 dan K1. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk menilai aktiviti antimalaria dan skizontisida analog 4-aminokuinolina-pirano[2,3-c]pirazol terhadap strain parasit zoonotik iaitu Plasmodium knowlesi A1H1 yang telah diadaptasi dalam darah manusia. Kesemua analog kuinolina telah diuji secara in vitro terhadap P. knowlesi A1H1 menggunakan plasmodium laktat dehidrogenase (pLDH) dan ujian pematangan skizon (SMA). Analisis dok molekul analog kuinolina turut dilakukan pada satu protein sasaran, Plasmodium sp. pengangkut rintang-klorokuina (PfCRT) yang bertujuan untuk memahami kemungkinan potensi protein ini sebagai sasaran antimalaria analog kuinolina tersebut. Hasil yang diperoleh menunjukkan bahawa analog 2 dan 5 (EC50 = 0.15-0.16 μM) mempunyai kesan antiplasmodium yang poten terhadap P. knowlesi. Tambahan lagi, analog 2 dan 5 mempunyai kesan skizontisida yang poten terhadap P. knowlesi berbanding sebatian analog yang lain. Suatu kajian menggunakan analisis dok in silico menunjukkan bahawa analog 2 dan 5 mempunyai konformasi pengikatan sempurna dalam tapak domain transmembran-1 PfCRT dengan masing-masing mempunyai nilai afiniti pengikatan -9.1 kcal/mol. Hasil kajian ini mencadangkan bahawa analog 2 dan 5 menghalang pertumbuhan parasit zoonotik P. knowlesi dan menyasarkan protein parasit PfCRT sebagai sasaran molekul berpotensi.

Item Type:Article
Keywords:Aktiviti antiplasmodium; Dok molekul; Malaria; Plasmodium knowlesi; Skizontisid; 4-aminokuinolina-pirano[2,3-c]pirazol
Journal:Sains Malaysiana
ID Code:24965
Deposited By: Siti Zarenah Jasin
Deposited On:17 Mar 2025 06:14
Last Modified:17 Mar 2025 06:14

Repository Staff Only: item control page