Abdul Rahman Embong, (1998) Perkembangan sains kemasyarakatan dan kemanusiaan di Malaysia: realiti dan cabaran baru. AKADEMIKA, 53 . pp. 3-8. ISSN 0126-5008
Full text not available from this repository.
Official URL: http://pkukmweb.ukm.my/penerbit/jdem53-1.htm
Abstract
Akademika bilangan 53, Julai 1998 mempunyai erti istimewa. Selain memperingati ulangtahun ke-26 penubuhannya, Akademika melalui keluaran ini mengumumkan dengan lengkap dasar editorialnya dan penubuhan sebuah Lembaga Penasihat Antarabangsa yang terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuan berwibawa dalam bidang masing-masing dari dalam dan luar negara. Langkah ini beserta beberapa langkah lain yang diambil oleh Lembaga Editorial yang baru adalah perlu bagi memastikan agar jurnal ini dapat memenuhi visinya sebagai sebuah penerbitan sains kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berwibawa yang berpegang kepada piawai ilmiah yang ketat selaras dengan sifatnya sebagai sebuah jurnal antarabangsa. Masyarakat manusia pada akhir abad ke-20 kini sedang menghadapi pergolakan besar dan mengalami perubahan yang pesat dan mendalam. Bidang ilmu pula terus menerus berkembang. Untuk memainkan peranannya dengan lebih berkesan pada masa hadapan, Lembaga Editorial dan para penyumbang untuk Akademika perlu peka terhadap beberapa perkembangan penting, baik dalam bidang ilmu mahupun dalam masyarakat yang turut memberi dampak ke atas bidang ilmu. Di sini kami akan membuat ulasan ringkas mengenai beberapa perkembangan penting ini. Pertama, pertumbuhan prolifik pascamodenisma, pasca-Marxisme, feminisme, teori pascakolonial, pengajian budaya dan aliran intelektual lain telah menimbulkan kekeliruan yang tidak sedikit di kalangan barisan ilmuan akademik konvensional. Oleh kerana aliran pemikiran baru ini tidak terkongkong dalam bingkai satu-satu disiplin, maka sempadan antara disiplin mulai cair, sehingga ia menyebabkan bercambahnya kecenderungan dan aktiviti lintas batas antara pelbagai disiplin. Percambahan yang rancak ini memberikan satu cabaran serius kepada perspektif teori konvensional atau tradisional dan kepada kebiasaan pendirian satu disiplin. Walau bagaimanapun, satu perdebatan yang bermakna di antara perspektif teori konvensional/tradisional yang menjadi pegangan selama ini dengan aliran intelektual baru yang mencabar ini sedang berlaku. Perdebatan ini sepatutnya digalakkan kerana ia boleh melahirkan proses saling mengisi di antara kedua-duanya. Sementara kita tidak boleh menerima yang baru bulat-bulat tanpa sikap kritis, kita juga tidak boleh menjadi seperti petapa intelektual yang mempercayai kemurnian bidang ilmu sendiri dan bermati-matian mempertahankan monopoli ke atas `wilayah' ilmu itu, dan hanya melepaskan batuk di tangga terhadap pendekatan pelbagai disiplin. Kedua, beberapa perkembangan yang berlaku di luar wacana ilmiah bukan sahaja telah membawa dilema dan cabaran baru kepada kehidupan manusia dan hubungan antarabangsa, tetapi juga telah menguji parameter ilmu pengetahuan dan pengertian kita, dan menghadapkan kita dengan medan pertarungan intelektual yang baru. Perkembangan-perkembangan ini, khususnya peningkatan pemikiran neo-liberal di kalangan pemimpin politik dan peneraju dunia perniagaan serta penjelmaannya menjadi dasar pemerintah di serata dunia; peluasan kuasa pasaran dan proses globalisasi dengan pemampatan masa dan ruang; serta perkembangan pesat teknologi maklumat termasuk Internet, telah mencipta perbatasan baru, yang sebahagian besar daripadanya tidakpun diketahui. Sebagai contoh, krisis kewangan dan ekonomi di Asia kini, yang merupakan satu krisis global dengan pemicu serantau, secara jelas menunjukkan bukan sahaja ketidakupayaan pemerintah untuk menanganinya, tetapi juga ketidakupayaan disiplin-disiplin tradisional untuk menganalisis dan menafsirkan fenomena ini dengan memuaskan dan memberikan kepimpinan intelektual. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab para iolmuan untuk membuat perenungan dan kritikan diri, dan dengan teliti mengkaji dan mengemukakan analisis tentang pelbagai proses yang sedang berlangsung supaya ia dapat dibahas di kalangan komuniti ilmuan, dan juga untuk menjadi rujukan para pembuat dasar dan orang awam. Proses-proses ini tidak dapat dihuraikan dengan sempurna dengan semata-mata bergantung kepada paradigma `lama' ataupun pada alat-alat analisis daripada satu disiplin sahaja. Ketiga, seiring dengan beberapa proses yang dibincangkan dalam perkara kedua di atas, satu aliran yang merimaskan telah muncul, yang sebahagianya dicetuskan oleh negara dan gerak kuasa pasaran, yang menuntut supaya ilmu pengetahuan bersifat utilitarian dan tunduk kepada kehendak pasaran. Konsep "kerelevanan" ilmu telah ditafsirkan secara sempit daripada sudut jangka pendek kepentingan pasaran. Aliran ini mengugat peranan institusi pendidikan, seperti universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, serta sebagai gedung budaya dan peradaban, yang misinya ialah untuk pendidikan manusia atau insan, dan bukan semata-mata untuk latihan pembangunan sumber manusia. Dalam masyarakat dunia yang secara berat sebelah menekankan kepentingan sains dan teknologi dan keunggulan kuasa pasaran, pelbagai bidang ilmu pengetahuan, khususnya sains kemasyarakatan dan kemanyusiaan tulen, menghadapi tekanan hebat untuk mewajarkan kerelevanan masing-masing, sekalipun terdapat diktum yang sudah lama teruji bahawa disiplim soft atau tulen ini berperanan untuk pembinaan akal budi kemanusiaan yang halus. Berdasarkan perkembangan di atas, para sarjana sains kemasyarakatan dan kemanusiaan tidak harus bersikap nostalgik dan defensif. Kita perlu memandang ke hadapan, bersikap imaginatif dan inovatif. Kita perlu menyedari bahawa kuasa pasaran dipacu oleh kepentingan jangka pendek. Sementara itu negara pula yang bertindak balas terhaapnya sering mengubah posisinya terutamanya apabila ia berkonflik dengan kuasa pasaran, dengan yang satu cuba mendisiplin yang lain. Komuniti ilmuan, terutamanya mereka daripada disiplin yang dikatakan soft tersebut, perlu mengambil pandangan jangka panjang dalam perancangan akademik dan usaha intelektual mereka. Sementara penyesuaian perlu dilakukan dan fikiran yangketinggalan zaman dikikis, kita tidak boleh mentakrif semula `kerelevanan' disiplin kita daripada kacamata jangka pendek semata-mata. Cita-cita yang tidak kunjung padam bagi pendidikan untuk pembangunan insan dan pembinaan akal budi kemanusiaan adalah pandangan jangka panjang yang seharusnya mendasari sebarang penyesuaian jangka pendek yang perlu dilakukan untuk tujuan menguasai kemahiran. Dengan kata lain, penguasaan kemahiran bagi pembangunan sumber harus dipadukan dengan pendidikan untuk membina insan dan penghalusan akal budi umat manusia itu sendiri. Ini menegaskan kerelevanan disiplin-disiplin tulen melampaui keterbatasan temposentrisme masa kini. Berdepan dengan senario di atas, Akademika perlu mengatur semula posisinya dan memberi tindak balas kepada cabaran-cabaran ini. Akademika bertekad untuk menjadi peserta aktif dalam perdebatan yang berterusan ini, dan akan membuka halamannya kepada para ilmuan Malaysia dan luar negarauntuk membuat sumbangan bermakna kepada pelbagai bidang ilmu pengetahuan dengan cara yang selaras dengan dasar editorial kami. Sama ada pelbagai esei yang muncul dalam halaman kami dari semasa ke semasa berjaya memperlihat semangat ini ter;ulanglah kepada para pembaca untuk menilainya. Walau apapun, kami tidak boleh disalahkan kerana mencuba. Dalam keluaran kali ini, kami mengetengahkan beberapa makalah. Shamsul A.B. melakukan sorotan yagn komprehensif mengenai perkembangan kajian Malaysia dan membincangkan secara analitis paradigma yang bersaing (kelas, etnik, budaya dan identiti) yang telah mencorakkan bentuk kajian Malaysia setakat ini; Syed Hussein Alatas membincangkan asas falsafah pendidikan umum, dan peri pentingnya pembinaan intelek; S.H. Heng membicarakan pasca-modenisme dan menggunakan alat analisisnya untuk meneliti fenomena Internet; Timo Kaartinen dalam kajian antropologi mengenai tradisi nyanyian rakyat Indonesia Timur dengan menggunakan analisis etnopuisi telah mengkritik hujah rekaan tradisi dan menganjurkan hujah ketulenan tradisi dan kekreatifan budaya tempatan; Rashila Ramli membincangkan peranan wanita dalam politik Malaysia daripada perspektif gender, dan Chin Yee Whah membicarakan interaksi antara budaya dan keusahawanan dalam perbincangannya tentang modenisasi perniagaan keluarga Cina di Malaysia. Kami yakin keputusan menjadikan Akademika sebagai saluran bagi wacana seperti di atas dan serentetan langkah lain yang kami ambil untuk melaksanakan dasar editorial jurnal ini adalah langkah penting bagi meningkatkan reputasinya dalam jangka panjang. Kami berharap langkah-langkah ini akan menyumbang kepada usaha murni untuk mendorong perkembangan sains kemasyarakatan dan kemanusiaan secara lebih teratur pada masa akan datang di Malaysia.
Item Type: | Article |
---|---|
Journal: | AKADEMIKA |
ID Code: | 4152 |
Deposited By: | Mr Fazli Nafiah - |
Deposited On: | 05 Apr 2012 01:33 |
Last Modified: | 23 May 2012 04:41 |
Repository Staff Only: item control page