Pengembalian sisa sebagai sumber proses metabolisme untuk kelestarian bandar Malaysia

Ahmad Fariz Mohamed, and Abdul Samad Hadi, and Shaharudin Idrus, and Muhammad Rizal Razman, and Abdul Hadi Harman Shah, (2011) Pengembalian sisa sebagai sumber proses metabolisme untuk kelestarian bandar Malaysia. Malaysian Journal of Environmental Management, 12 (2). pp. 43-53. ISSN 1511-7855

[img]
Preview
PDF
384kB

Official URL: http://www.emsmalaysia.org

Abstract

Proses pembangunan bandar di Malaysia berlaku dengan kadar pantas selepas merdeka pada tahun 1957. Pertumbuhan ekonomi, pertambahan penduduk dan aktiviti yang menyokongnya telah meluaskan kawasan perbandaran di bandar-bandar utama Malaysia. Kesan daripada proses pembandaran ini,penggunaan sumber untuk pelbagai aktiviti ekonomi dan kehidupan masyarakat bandar telah meningkatkan proses metabolisme bandar. Sisa domestik dan industri terutamanya adalah antara hasilan daripada peningkatan proses metabolisme bandar yang selama ini dilihat sebagai hasilan negatif. Walaupun negatif ia perlu diuruskan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan impak yang lebih merbahaya kepada alam sekitar dan kesihatan manusia. Penghasilan sisa pepejal bandar diMalaysia menunjukkan peningkatan daripada 13,000 ton sehari pada tahun 1996 kepada 19,100 ton sehari pada tahun 2005, iaitu purata 0.8 Kg perkapita sehari. Kajian juga telah menganggarkan sisa pepejal bandar akan meningkat kepada 30,000 ton sehari menjelang tahun 2020. Cabaran pengurusan sisa bandar adalah amat tinggi kerana penghasilannya boleh dikaitkan dengan pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi. Sejak tahun 1957, sisa bandar di Malaysia diurus dengan pendekatan hujung paip di mana sisa dilupus di tapak pelupusan adalah pilihan utama pengurus bandar. Namun dengan keadaan di mana persaingan untuk penggunaan tanah yang lebih mengutamakan kepentingan manusia dan perlindungan alam sekitar, pendekatan ini perlu diubah. Antara langkah yang kini telah diambil adalah dengan mengembalikan semula sisa sebagai sumber untuk bandar. Pendekatan ini merupakan pendekatan yang penting kerana ia mampu membekalkan sumber alternatif kepada industri terutama untuk sumber yang tidak boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan guna tanah untuk tapak pelupusan baru. Antara contoh pengembalian semula seperti sisa plastik dan kertas boleh mengurangkan kebergantungan kepada industri pembalakkan dan petroleum. Bagi memastikan transisi pengurusan sisa daripada hujung paip bersifat linear kepada pengembalian semula sisa sebagai sumber yang bersifat kitaran berlaku dengan berkesan, setiap proses, tindakan, peranan pihak yang berkaitan dan impak perlu dikenalpasti dan difahami. Sehubungan dengan itu bidang ilmu berbentuk rentas disiplin yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu perlu dibangunkan. Asas pergabungan ini perlu dipaksikan kepada ilmu sains untuk kelestarian. Di mana pembangunan ilmu untuk merubah kefahaman sisa sebagai sumber bernilai penting untuk proses metabolisme bandar perlu menggemblingkan pelbagai disiplin ilmu seperti pengurusan, kejuruteraan, fizik, kimia, biologi, sains sosial, ekonomi dan undangundang. Mekanisme bagaimana bidang ilmu ini boleh menyumbang dan memberi manfaat perlu dibangunkan. Diperingkat awal ini mekanisme ini boleh dibentuk dengan memahami bagaimana transisi pendekatan linear kepada kitaran ini boleh berlaku. Kemudiaannya dikenalpasti apakah input dan faktor yang mempengaruhi proses transisi ini dan bagaimana ia memberi kesan terutama dalam proses untuk mengembalikan semula sisa sebagai sumber untuk metabolisme bandar. Kajian kepentingan interaksi pelbagai bidang ilmu ini penting sebagai asas dan input penting bagi memastikan kelestarian pengurusan sisa bandar Malaysia di masa hadapan.

Item Type:Article
Keywords:sisa; sumber; transisi; sains kelestarian
Journal:Malaysian Journal of Environmental Management
ID Code:6434
Deposited By: ms aida -
Deposited On:01 Aug 2013 07:23
Last Modified:14 Dec 2016 06:41

Repository Staff Only: item control page